Sunday, May 8, 2011

PAS dan PR pertahan Islam agama rasmi










KUALA LUMPUR, 8 Mei: PAS menegaskan akan terus bersama Pakatan Rakyat untuk memperkasa Islam sebagai agama rasmi, kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Katanya, ianya sebagaimana telah dipersetujui dalam Konvensyen Pakatan Rakyat di Shah Alam pada tahun 2009 dan diperkukuhkan lagi pada Konvensyen Pakatan Rakyat di Pulau Pinang pada 2010.

Ketiga-tiga komponen parti iaitu PAS, PKR dan DAP telah bersetuju akan terus mempertahankan Perlembagaan
Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini.

"Tekad ini adalah suatu ikrar yang terpahat dalam polisi bersama Pakatan Rakyat.

"Oleh yang demikian hirup pikuk yang di lemparkan oleh media tertentu bertujuan untuk membakar semangat rakyat terutamanya di kalangan orang Melayu beragama Islam, bahawa Malaysia akan menuju ke arah negara Kristian adalah suatu pemberitaan yang sangat tidak beramanah," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau dipercayai mengulas laporan akhbar pro Umno, Utusan Malaysia yang mendakwa pemimpin-pemimpin Kristian berkonspirasi dengan DAP untuk mengambil alih Putrajaya dan menggugurkan status Islam sebagai agama rasmi negara.

Laporan muka depan akhbar itu semalam bertajuk “Kristian agama rasmi?” ditulis berdasarkan sumber beberapa blogger pro-Umno yang menuduh DAP menghasut dengan cuba meminda undang-undang negara untuk menjadikan mereka yang beragama Kristian menjadi perdana menteri, dengan menunjukkan gambar berbintik-bintik yang didakwa mereka sebagai pakatan rahsia antara DAP dan pastor-pastor di sebuah hotel di Pulau Pinang, Rabu lalu.

Bagaimanapun Presiden PAS berkata, kegagalan mempertahankan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara ini adalah berpunca dari kealpaan dan kelemahan pimpinan Umno yang telah lebih dari 50 tahun memerintah.

Menurutnya, Umno bukan sahaja gagal memperkasakan Islam sebagai agama persekutuan malah juga gagal menyediakan kefahaman Islam yang sebenar kepada rakyat.

Akibatnya, Umno telah melemahkan jati diri orang Melayu beragama Islam, dan seterusnya menghadapi kecelaruan sakhsiah dan bencana akidah, tambah Tuan Guru Abdul Hadi lagi.

Jesteru soalnya, apa lagi yang boleh diharapkan dari Umno yang juga gagal memberikan menunjukkan contoh Islam yang unggul kepada rakan mereka MCA dalam Barisan Nasional.

"Hasilnya kita dapat lihat sendiri bagaimana pendirian dan kenyataan politik pimpinan MCA ini semakin hari semakin hanyut dan menampakkan kecelaruan dalam memahami Islam sebagai agama rasmi negara kita ini," tegasnya.-Harakahdaily-

0 Comments:

Post a Comment